Sejarah takabbur
Kederhakaan pertama dalam kalangan makhluk terhadap khalik ialah keengganan iblis dalam mematuhi perintah Allah untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s Tidakkah ini disebabkan rasa takabbur?? Iblis yang merasakan dirinya lebih baik, Tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam a.s hanya kerana dirinya diciptakan daripada api berbanding Nabi Adam yang dicipta daripada tanah. Sindrom ‘’ana khairun minhu’’ (aku lebih baik daripadanya) ini akhirnya turut menular menjakiti manusia.
Alhasil, lahirlah Qabil, anak Nabi Adam a.s. sendiri yang merasakan dirinya lebih baik dan berhak mengahwini saudara perempuannya yang lebih cantik berbanding adiknya Habil. Lalu pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan pun berlaku. Qabil mengikuti jejak iblis apabila lebih mementingkan kehendak nafsu berbanding hukum yang telah ditetapkan, sebagaimana iblis enggan mengiktiraf kelebihan ilmu yang ada pada diri Nabi Adam a.s. Begitu juga Qabil yang tidak dapat menerima hakikat bahawa pengorbanan adiknya Habil lebih ikhlas berbanding dirinya.
Menerusi sifat takabbur yang diwarisi iblis meneruskan "legasinya". Dia terus merekrut "protege"nya yang terdiri daripada syaitan dan manusia sepanjang zaman. maka lahirlah Firaun, Haman, Qarun, Namrud, Abu Lahab, Abu Jahal, Kamal Artaturk dan ramai lagi.
Golongan inilah yang banyak menentang kebenaran yang dibawa oleh para Rasul, ulama al-amilin dan mujahid-mujahid Islam kerana merasakan fikiran, sistem kepercayaan, keturunan, harta, dan diri mereka lebih baik daripada kebenaran ajaran Allah. Apatah lagi ajaran itu hanya diseru oleh insan-insan yang pernah menjadi pengembala kambing, anak yatim, miskin, dan ummi (tidak pandai menulis dan membaca) tetapi dipilih oleh Allah untuk membawa misi kebenaran.
daripada hembusan takabbur itulah juga lahirnya Zionis Yahudi yang merasakan mereka adalah "God's Chosen People"- insan pilihan Tuhan untuk memerintah, menguasai, dan memperkotak-katikkan bangsa-bangsa lain yang meeka anggap lebih hina. Apabila asabiyyah bangsa (bani Israel) digaul dengan penyelewengan agama (agama Yahudi) lalu ditunjangi sifat takabbur maka lahirlah penindasan, keganasan, dan penjarahan yang tiada batasan.
Definisi Takabbur
Takabbur sering menyerang individu yang mempunyai potensi. Lebih banyak potensi yang dimiliki oleh seseorang maka lebih terdedahlah dia dengan sifat takabbur. semuanya gara-gara meraskan diri "lebih" daripada orang yang "kuang". Berasa diri mulia, orang lain hina. Rasulullah s.a.w. memberi definisi tepat dan padat tentang takabbur meneusi sabdanya yang bermaksud: ’’sombong itu adalah menolak kebenaran dan menghina makhluk.’’ (Riwayat Muslim no.275)
Para ulama menjelaskan tiga ciri utama individu yang takabbur. Ciri-ciri itu adalah:
1. Merasa diri lebih baik
2. Menghina orang lain
3. Menolak kebenaran
Ketiga-tiga sifat itu menyerang manusia dalam bentuk pakej. Ketiga-tiganya datang serentak. Ia saling berkait rapat antara satu sama lain. Apabila merasakan diri lebih baik, mulia, dan tinggi, seseorang itu cenderung memandang orang lain buruk, hina dan rendah. Apabila dua sifat itu mendominasi seseorang maka dia akan jadi terlalu obses terhadap dirinya sendiri. Ketika itu, dia akan menolak apa sahaja pandangan, saranan, dan teguran daripada rang lain walaupun benar.
Hendaknya kita dapat membezakan antara takabbur yang keji dengan harga diri yang terpuji. Orang yang mempunyai harga diri (izzah dan maruah) memandang dirinya tinggi kerana Islam, bukan atas sebab-sebab kehebatan diri sendiri. Individu yang mempunyai harga diri yang tinggi merasakan dirinya berkemampuan, berkeyakinan dan berhak untuk berjaya dalam hidup hasil keyakinannya kepada Allah.
Orang yang mempunyai harga diri tinggi sangat menghargai orang lain. Mereka melihat dunia sebagai medan "perkongsian" untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan. Para Rasul, Nabi, Siddiqin, syuhada' dan orang soleh adalah mereka yang mempunyai harga diri yang tinggi. Mereka sentiasa mendapat inspirasi daripada ayat al_quran ini: "Jangan kamu merasa hina dan jangan kamu merasa gentar. Kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman." (Surah Ali 'Imran 3: 139)
Dan hasil pertembungan antara harga diri dan takabbur inilah yang berlaku sepanjang sejarah perjuangan mendaulatkan Islam. Yang berjuang menegakkan Islam mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana keimanannya, manakala yang menentangnya juga disebabkan keyakinan kerana ketakabburannya. Terdapat garis pemisah yang sangat besar antara kedua-dua sifat itu walaupun impaknya kepada diri seolah-olah hampir sama.
Tanda Takabbur
1.Tidak suka berdoa
Doa ialah lambang sifat kehambaan kepada Allah. Sifat kehambaan itu antaranya rasa lemah, hina, jahil, malu, miskin, berdosa dan mengharap kepada Allah. Apabila ada rasa kehambaan, timbul rasa mengharap dan meminta kepada Allah dan ini akan menyebabkan seseorang berdoa kepada Allah.
2. Mudah terluka dan melukakan hati orang lain
Orang yang ego selalunya mudah melukakan hati orang lain menerusi percakapan dan sikapnya. Percakapannya penuh dengan perlecehan, membangga diri dan kebanggaan. Sikapnya menjengkelkan. Hati insan lain sering dilukakan oleh orang takabbur sekalipun orang yang rapat dengannya seperti ibu, bapa, isteri, suami, anak, sahabat, dan sudara-mara.
3. Sukar memberi dan meminta maaf
Orang yang takabbur sukar memaafkan kesalahan orang lain. Tiada istilah "forgive and forget" dalam kamus hidup si takabbur. Apalagi melupakannya, memaafkannya pun tidak sama sekali. Apabila dia mempunyai kuasa dan upaya untuk membalas, dia membalas dendam bukan sahaja setimpal malah melebihi kesalahan yang dilakukan oleh oang lain terhadapnya.
4. Memotong cakap orang lain
Orang ego selalu ingin menjuarai sesuatu perbualan. Dia menganggap perbualan sebagai satu "pertandingan", bukan satu perkongsian. Kerakusan menunjuk pandai, mengaku kaya, mengangkat diri hingga menyebabkan dia kurang menjadi pendengar. Sebaliknya dia sering memotong cakap orang lain sebelum sempat teman bualnya menghabiskan cakap atau mengutarakan pendapat.
5. Gila kuasa dan jawatan
Takabbur akan melahirkan manusia yang gila kuasa. Dia sentiasa ingin jadi pemimpin. Ironinya, jika dia jadi pemimpin orang lain sukar mengikutnya dan jika dia pula jadi pengikut, orang lain tidak suka mengikutnya. Arahannya kasar. Tidak kiralah sama ada dia digelar "Firaun kecil" atau "Little Napoleon", namun sikap gila jawatan sering menyebabkan orang takabbur mendabik dada dan mendakwa semua kemajuan adalah atas usahanya. Oleh sebab itu, dirasakan bahawa dia mesti dinobatkan sebagai ketua.
6. Gila pujian
Orang takabbur, gila ingin menjadi pemimpin dan apabila dia memimpin dia akan gilakan pujian. Jika pemimpin gila dipuji, lalu dia akan dikelilingi kaki ampu. Di sisi Firaun ada Haman, ada orang kanan yang suka membodek. Dan apabila ini terjadi, yang menderita ialah rakyat atau pengikutnya. Penderitaan rakyat, suara pengikut dan kelemahan dalam pelaksanaan sesuatu dasar yang dibangkitkan tidak akan sampai ke atas.
Mengikis rasa takabbur dalam hati adalah fardhu ain. Maksudnya wajib bagi setiap orang islam. Allah wajibkan kita memerangi rasa takabbur kerana boleh membawa kerosakan yang sangat besar di dunia dan akhirat. Kerosakan itu sama ada berlaku pada diri orang yang takabbur mahupun kepada keluarga, masyarakat atau Negara.
Takabbur adalah “IBU” sifat mazmumah malah takabbur boleh menjejaskan aqidah. Jika sifat-sifat mazmumah lain disebabkan keliaran hawa nafsu dan berkaitan dengan hak-hak manusia, sebaliknya aqidah melibatkan hak Allah S.w.t. .
Antara akibat buruk sifat takabbur adalah:
1.Tertutupnya pintu hati daripada Hidayah dan kebenaran
Orang yang takabbur sukar menerima kebenaran. Hatinya menjadi terlalu keras untuk terus mempertahankan keegoannya walaupun kebenaran sudah diakuinya oleh hati kecilnya (fitrah). Namun hati besarnya (takabbur) akan terus menolak kerana bimbang kedudukan atau status sosial akan tergugat sama ada oleh kebenaran itu sendiri atau oleh pembawanya.
Inilah yang berlaku kepada Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain pemuka Quraisy yang merasakan jika mereka menerima Islam dan kerasulan Muhammad s.a.w, mereka akan hilang “kerusi” kepimpinan di Makkah. Rasulullah s.a.w. mengingatkan menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Terimalah kebenaran itu walaupun datangnya daripada hamba yang berkulit hitam dan berambut kerinting.
2.Dimurkai Allah dan dicampakkan ke neraka
Orang yang melakukan kejahatan kerana tidak mampu melawan hawa nafsu adalah lebik baik daripada orang yang melakukan kejahatan kerana keegoannya. Seorang yang takabbur akan dimurkai Allah kerana dia cuba menyaingiNya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ahli neraka terdiri daripada orang yang kejam, rakus dan takabbur.” (Riwayat Muslim)
3.Dibenci manusia dan terseksa di dunia
Orang yang ego akan dibenci kerana cakap, Sikap dan lagaknya. Sifat ini ditegur oleh Allah s.w.t. menerusi firmanNya yang bermaksud: “ dan dia (orang kafir) mempunyai kekayaan besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang Mukmin) ketika dia bercakap-cakap dengan kawannya, ‘Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat.” (Surah al-Kahf 18:34)
Orang yang ego, jika bodoh payah diajar. Jika pandai payah diikut. Mereka hakikatnya mempunyai “kecacatan dalaman” yang mengekang keupayaan mereka berinteraksi dan berkomunikasi dengan manusia secara harmoni.
Semoga Tawaduk Menjadi Benteng Kepada Sifat Takabbur Lebur
BalasPadam